Ada 1 pilihan sahaja pada zaman Yap Ah Loy Tarikh berita dimasukkan: 10/29/2010
Pekerja-pekerja lombong bijih pada zaman Yap Ah Loy hanya ada 1 pilihan sahaja. Oleh kerana ia hanya 1, maka ia bukan pilihan.
"Sama ada berjaya dan kaya atau balik ke China." Itu arahannya. Bukan pilihan tapi arahan yang mesti dipatuhi. Ada pilihan lain? Tidak ada pilihan melainkan berjaya dan kaya di Malaya.
Bagaimana jika anda yang berada dalam situasi begitu pada masa itu? Peluang untuk berjaya dan kaya terbuka luas di depan mata. Hanya tinggal mengerjakan sahaja. Hanya perlu rajin dan gigih sahaja untuk mengambil kejayaan dan kekayaan itu. Jika tidak dikerjakan dan menjadi kaya, terpaksa dihantar pulang kembali ke dalam kemiskinan dan kesusahan semula. Jadi, anda sanggup mempertaruhkan 'nyawa' untuk berjaya dari dihantar pulang ke alam kemiskinan.
Apa saja usaha yang sedang dijalankan, anggap sebagai 'anak'. Itulah anak anda. Allah telah memberikan kita satu 'perasaan ajaib' apabila berhadapan dengan anak. Tidak ada istillah 'tidak' apabila berhadapan dengan anak. Apabila anak hendak minum susu tetapi kita tidak mempunyai wang untuk membeli susu, pernahkah kita mengatakan 'tidak'? Walau apa terjadi, segala kesanggupan dikumpulkan, tanpa sebarang alasan, tanpa penangguhan, mesti mendapatkan satu tin susu.
Itulah keajaiban 'terpaksa'. Apabila terpaksa itu mendesak dalam diri, tidak ada pilihan lain selain mesti sukses. Pelombong bijih mempunyai rasa 'terpaksa' yang amat kuat. Anak menangis hendakkan susu juga telah menyuntik rasa 'terpaksa' yang amat kuat.